SEJARAH SEKOLAH
Sekolah
Kebangsaan Seksyen 20, Shah Alam bermula pada 15 November 1993 dengan penyerahan
kunci kepada Guru Besar pertamanya iaitu Puan Siti Fatimah bt Likin. Pada tahun
pertama sesi persekolahan yang bermula pada 5 Januari 1994 terdapat dua aliran
pendidikan iaitu aliran akademik biasa bermula dengan 15 kelas Tahun 1 hingga 5
dan aliran kelas Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran ( PKBP ) yang bermula
dengan 1 kelas. Bilangan pelajar pada tahun itu ialah seramai 650 orang dengan
jumlah guru seramai 30 orang termasuk Guru Besar , Penolong Kanan Satu,
Penolong Kanan Dua dan Penolong Kanan Ko-Kurikulum.
Puan Siti Fatimah bt Likin
adalah peneraju pertama yang dilantik menjadi Guru Besar pada tahun yang sama dan
mula mengorak langkah ke arah kemajuan dan kejayaaan sekolah. Pada awal
pembukaan sekolah, ia mempunyai 4 buah blok bangunan iaitu Blok A yang
menempatkan pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat, bilik kesihatan, surau dan
kelas-kelas tahun enam. Blok B pula
terdiri daripada bilik guru, perpustakaan, bilik Alat Pandang Dengar, Bilik
Kaunseling serta bilik-bilik darjah untuk tahun lima. Blok C pula menempatkan Bilik Muzik, Makmal
Kemahiran Hidup, Makmal Sains dan sebuah bilik yang dijadikan Makmal Komputer
PIBG. Dan di bahagian tingkat bawah blok
ini ditempatkan kelas PKBP untuk memuatkan pelajar seramai 30 orang. Manakala Blok D pula adalah terdiri daripada
tiga tingkat yang kesemuanya untuk bilik-bilik darjah. Walaubagaimanapun,
tingkat bawah blok D ini akhirnya dijadikan Dewan Sementara. Sekolah Kebangsaan Seksyen 20 juga telah disediakan sebuah bangunan berasingan untuk
kantin sekolah yang diletakkan di bahagian sisi hadapan kawasan sekolah . Keadaan tempat perhimpunan adalah di
letakkan tengah-tengah antara blok-blok yang menjadikan kawasan
perhimpunan ini sangat strategik. Di
masa lain, kawasan ini adalah untuk
tempat letak kereta guru-guru dan staf sekolah.
Puan Siti Fatimah bt.
Likin menerajui Sekolah Kebangsaan
Seksyen 20 dengan menempa pelbagai kejayaan di dalam ke semua bidang samada
bidang Akademik, Ko-Kurikulum atau bidang Ko-Akademik.. Antara yang sangat tersohor ialah sekolah berturut-turut mendapat Johan di
dalam Piala Raja Muda selama lima tahun sehingga menjadi pasukan yang sangat
digeruni di Peringkat Sekolah Daerah Petaling. Sekolah juga mendapat suntikan
Surau dan Pusat Sumber antara 10 buah terbaik di Daerah Petaling. Di dalam Seni Muzik pula, pasukan sekolah
telah mendapat Anugerah Emas di dalam
Pertandingan Seni Budaya peringkat Negeri Selangor pada tahun 1997. Di
masa ini juga Panitia Muzik telah berjaya mencungkil bakat beberapa orang murid
sekolah ini dalam bidang seni suara di mana dengan berkat nasihat dan
kepimpinan Guru Besar, murid-murid
tersebut sentiasa mendapat jemputan membuat persembahan di majlis-majlis
peringkat PPD Petaling dan juga peringkat jabatan. Pada awal perkhidmatan beliau, dengan
kepimpinan dan pasukan kerja yang mantap, beliau telah menggerakkan penciptaan
lencana dan lagu sekolah yang masih digunakan hingga kini.
Majlis
perasmian sekolah telah dijalankan sebelum beliau bersara. Perkhidmatan beliau akhirnya tamat setelah
sepuluh tahun bersama warga SKS20 pada 4
Mei 2003 dengan meninggalkan sejarah yang perlu diukir supaya warga sekolah turun
temurun turut menghargainya. Kepimpinan
beliau yang tegas, berani, bekerja tidak mengenal masa dan bersikap “motherly”
telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada semua warga sekolah yang
ditinggalkannya. Majlis persaraannya
juga menjadi sejarah yang tidak dilupakan.
SKS20 telah dirasmikan oleh Datuk
Bandar Shah Alam bersempena 10 tahun ulangtahun pembukaannya yang bersamaan
dengan tarikh persaraannya.
Encik Abdul
Aziz bin Haji Mohd. Ali mula bertugas menggantikan beliau pada 16 Ogos 2003
yang meletakkan beliau sebagai Guru Besar Kedua. Pemantapan kepimpinan beliau
telah menambahbaikkan lagi infrastruktur sekolah dengan garapan kerjasama Persatuan Ibu bapa dan Guru sekolah yang
sentiasa aktif dan berwawasan sehinggakan mencetus pembangunan di pelbagai
sudut.
Setelah 15 tahun usia
sekolah ini, sebuah bangunan tambahan telah dibina iaitu yang dikenali sebagai
Blok E iaitu sebuah bangunan tiga tingkat
yang telah disiapkan pada tahun 2007 yang menempatkan bilik-bilik darjah. Dengan persetujuan semua pihak kelas PKBP
telah berpindah ke blok ini dengan menggunakan
sepenuhnya tingkat bawah kerana pelajarnya telah bertambah dari setahun ke
setahun sehingga mencecah seratus tiga puluh orang murid dengan peruntukan dua puluh
lima orang guru. Sebuah bangunan
kecil yang telah menempatkan dua bilik
Makmal Komputer telah dibina melintang berhadapan dengan Blok A dan B. Peralatan di Makmal Komputer PIBG telah
dipindahkan ke makmal baru. Makmal Komputer PIBG pula dijadikan Bilik
Pengurusan PIBG. Dewan sekolah pula
telah dinaiktarafkan di mana telah dibina sebuah pentas. Kelas Pra sekolah pula di bina di hadapan
Kantin dan di antara Pra dengan Kantin dibina pula sebuah Dewan Terbuka untuk
kegunaan murid. pada akhir tahun 2006.
Menyusul pula pertambahan peruntukan Pra Sekolah di mana sebuah blok
bangunan kecil yang memuatkan dua kelas Pra Sekolah telah dibina bersebelahan
Blok E yang kini mencecah 75 orang murid Pra Sekolah. Kelas Pra ini mula beroperasi pada awal tahun
2008.
Gandingan mantap dengan
PIBG sekolah, telah mencetuskan pelbagai aktiviti yang telah membangunkan
Sekolah Kebangsaan Seksyen 20, Shah Alam.
Antaranya ialah Kempen Minum Air Soya,
Gotong-Royong bersama KPJ dan masyarakat Sekyen 20, Jogotahan, Ceriathon,
Bacaton dan lain-lain aktiviti. Belau
turut menggerakkan untuk menaiktaraf Padang Sekolah, Pagar Sekolah dan
pembinaan Pondok Pengawal Keselamatan yang dilengkapi dengan Sistem CCTV telah
memberikan impak dan kesan ke atas pencapaian akademik murid sekolah ini di
mana peratus lulus dalam UPSR sentiasa meningkat dari tahun ke setahun. Kini sekolah ini makin menempa nama ke arah
visi untuk menjadikan SKS20 antara 15 sekolah terbaik di Daerah Petaling
Perdana. Di dalam bidang Ko-Kurikulum
pula,pasukan Bola Sepak sekolah masih digeruni walaupun tidak muncul juara di
dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Walaubagaimanapun, Pasukan Hoki sekolah pula telah menunjukkan kehebatan
di mana telah menjadi Johan Daerah Petaling Perdana sehinggakan melayakkan pasukan
ke Peringkat Negeri. Beberapa orang
pemain hoki pula telah terpilih ke peringkat Kebangsaan. Keunggulan Sekolah Kebangsaan Seksyen Dua
Puluh terus meningkat dibawah kepimpinan
Encik Abdul Aziz sehinggalah beliau telah dianugerahi Guru Besar Cemerlang yang
menyebabkan beliau perlu digerakkan ke sekolah lain pada akhir tahun 2008.
Pada 1 Disember 2008,
Puan Hajah Noorsima bt. Saari pula telah dilantik sebagai Guru Besar. Garapan bersama pentadbiran baru yang terdiri
daripada Penolong Kanan dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang baru telah
menjadikan sekolah ini menjadi SK Seksyen 20 versi baru. Banyak pembangunan yang sedia ada telah
dimantapkan. Diawal pentadbiran, beliau banyak menekan kepada Akademik
sehinggakan peratus UPSR 2009 terus meningkat lagi. Murid-murid yang tidak kuasai 2M telah diberi
suntikan baru dengan harapan peningkatan jangka panjang. Dewan terbuka telah ditambah sebuah lagi
supaya murid sekolah mendapat manafaat daripadanya. Pejabat pentadbiran telah disusun sebaik mungkin
supaya bersedia menerima kunjungan ibu bapa .
Sikap mesra pelanggan menyebabkan ibubapa telah menaruh sepenuh
keyakinan kepada kepimpinan beliau. Guru-guru yang seramai 115 orang telah
dapat bekerja sepasukan dengan penuh ceria dan berwawasan.